Mendaki bukit (hiking) adalah salah satu senaman bagus dan tergolong dalam salah satu latihan kardio terbaik yang memberikan banyak kelebihan kepada tubuh badan. Walaupun mendaki adalah senaman terbaik, namun ia tidak bermakna anda perlu memanjat gunung. Anda boleh mulakan dengan mendaki bukit yang rendah seperti di Dragon Path, Kampar.

Dragon Path (Jalan Naga Emas) mempunyai laluan yang cukup pendek iaitu hanya 505 meter. Laluan ini bermula di tengah-tengah kawasan kediaman di bahagian bandar lama Kampar. Anda boleh melalui dua laluan berbeza. Laluan pertama; anda boleh berjalan melalui Station 1 (210 meter), Station 2 (320 meter) dan seterusnya anda boleh berehat di hentian yang disediakan. Manakala, laluan kedua, anda akan berjalan melalui laluan yang mempunyai Pokok Century. Kedua-dua laluan ini akan bertembung semula dan terus ke puncak bukit (Station 3 – Terminal Point).

Anda tidak perlu risau kerana terdapat penanda diletakkan di atas pokok dan batu untuk dijadikan panduan anda ke puncak bukit. Terdapat beberapa halangan di sepanjang jalan seperti batang pokok yang melintang di laluan. Namun, halangan tersebut tidak membuatkan anda merasa sukar untuk berjalan di Dragon Path. Laluan juga boleh menjadi licin dan berlumpur jika hujan. Secara amnya, Dragon Path sesuai untuk pendaki yang baru belajar mendaki bukit dan sesuai dijadikan tempat latihan mendaki.

Dalam masa kurang dari sejam, anda boleh sampai ke puncak bukit. Terdapat Air Terjun Kampar yang boleh anda singgah berehat. Selain itu, anda boleh menikmati pemandangan bandar Kampar di hentian kedua (Station 2). Tiada cas bayaran dikenakan untuk mendaki bukit di Dragon Path.

Tidak susah untuk mencari Dragon Path. Anda boleh Waze ke tempat rekreasi ini yang juga terletak di No. 5, Jalan Naga Villa 1, 31900 Kampar.

menarikdi.com