Sunday, January 14, 2024
HomePerakKuala KangsarLabu Sayong Kuala Kangsar

Labu Sayong Kuala Kangsar

Bahasa Malaysia

Jika singgah ke Kuala Kangsar pasti tidak sah jika tidak membeli kraftangan kebanggaan Bandar Diraja ini iaitu labu sayong.

Labu sayong menjadi antara perusahaan kraf yang mendapat perhatian bukan hanya penduduk tempatan tetapi daripada masyarakat di seluruh negara selain daripada pelancong antarabangsa.

Lebih membanggakan, produk berkenaan mengalami revolusi seiring zaman dan dipelbagaikan dalam pelbagai bentuk tidak sebagai hanya bekas penyimpan air atau hiasan semata-mata.

Menurut Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi terdapat 128 pengusaha labu sayong di Kuala Kangsar yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) dan kira-kira 90 daripadanya adalah pengusaha aktif.

“Mereka mengusahakan labu sayong sama ada secara bersendirian atau melalui koperasi yang telah kita bangunkan iaitu di Kampung Kepala Bendang, Sayong.

“Labu sayong yang diusahakan adalah bagi memenuhi permintaan sebagai cenderamata, kegunaan harian atau diimport ke luar negara,” katanya kepada Bernama di sini.

Kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional di Semenanjung Malaysia telah mula dikenali sejak zaman-berzaman dan kini perusahaannya masih hidup di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Melalui kudrat tangan dan ketajaman ilham manusia, maka terbentuklah tembikar yang memaparkan keindahan warisan tradisi yang sebahagian besarnya disempurnakan oleh kaum wanita. Seni tembikar ialah hasil seni kraftangan yang diperbuat dari tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak, diasapkan serta dibakar untukmenghasilkan satu rupabentuk yang sungguh berseni dan unik.

Tembikar yang lebih dikenali sebagai Labu Sayong berwarna hitam banyak terdapat di Sayong, daerah Kuala Kangsar, Perak. Malah sebut sahaja Sayong, maka tergambarlah keindahan bentuk seni labu yang berwarna kehitaman. Wujudnya labu hitam ini dari buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.

Suatu masa dahulu, labu hitam adalah alat penting yang digunakan sebagai bekas menyimpan air minuman di majlis kenduri. Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa jenis penyakit seperti batuk dan demam panas. Ia juga digunakan sebagai bekas air sewaktu menziarahi tanah perkuburan.

Labu Sayong menekankan sifat semulajadi iaitu tanah liat serta teknik penggunaan tangan. Rekaan corak permukaannya dihiasi dengan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga calaran-calaran geometrik yang harmoni.

Labu Sayong tetap dikagumi dan diminati bukan sahaja kerana penggunaannya semata-mata tetapi kerana keindahannya, berasaskan nilai estetika barangan tembikar itu.

Menurut cerita penduduk setempat di Kuala Kangsar, dipercayai bahawa labu asalnya dibawa ke Sayong oleh Tuk Kaluk yang datang dari Minangkabau pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar. Tuk Kaluk merupakan salah seorang yang mempunyai hubungan baik dengan istana pada ketika itu.


peta kuala kangsar

Tuk Kaluk telah dianugerahkan tanah oleh sultan di Kampung Kepala Bendang sebagai menghargai kebolehannya dalam membuat hasil pertukangan seperti pedang, parang, keris dan juga tembikar yang banyak membantu penduduk setempat dan negeri pada ketika itu.

Sejak dari itu Tuk Kaluk terus mengajar penduduk setempat membuat labu. Lama-kelamaan, penduduk di kampung tersebut pandai membuat labu dengan sendiri sehingga ke hari ini. Penggunaan labu atau tembikar dalam kehidupan seharian memang meluas.

labu sayong

Labu Sayong bukan sahaja digunakan oleh golongan rakyat biasa tapi golongan istana juga turut juga menggunakanya sepertimana yang dicatatkan oleh Raja Chulan dalam Misa Melayu tentang sewaktu Sultan Iskandar Zulkarnain menghilir sungai dari Istana Pulau Cempaka Sari, baginda turut membawa tembikar tanah ini yang digunakan sebagai bekas air minuman dan untuk bersiram.

 

 

Ahmad Saufi Bin Ahmad Khalil
Ahmad Saufi Bin Ahmad Khalil
PI1M Kg Kubang Pekan, Kluster Kuala Kangsar, Perak
RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Most Popular