Friday, April 19, 2024
Home#Rekreasi/ Lokasi MenarikMasjid Ubudiah Mercu Tanda Kuala Kangsar

Masjid Ubudiah Mercu Tanda Kuala Kangsar

Masjid Ubudiah adalah antara masjid tercantik di Malaysia. Amat mudah melihat masjid ini kerana ia dibina di atas bukit dan di tepi jalan di Bukit Chandan. Ia telah dibina pada tahun 1910 oleh Sultan Perak dengan mengambil arkitek Inggeris. Ia bercirikan Morish. Bahan binaannya seperti marmar diimport dari Itali. Di dalamnya terdapat lampu chandelier yang cantik dan siling yang diukir dengan menarik.  Bersebelahan dengan masjid ini terdapat makam diraja.

Makan Diraja bersebelahan dengan masjid

Masjid Ubudiah, kadang kala dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah ialah sebuah masjid negeri di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan dan kepercayaan untuk kaum Muslim di Perak. Kubah emas dan menara masjid adalah bukti dari keindahan senibina Islam. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.

Dari segi latar belakang sejarahnya Masjid Ubudiah yang terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah ini, adalah merupakan masjid nazar. Ia diasaskan oleh Sultan Idris untuk membayar nazar kerana baginda telah pulih dari penyakitnya. Semasa beristirahat dalam rawatan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan sekiranya kesihatan baginda pulih.

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, baginda telah menitah Kolonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk mereka bentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Pembangunan Masjid Ubudiah bermula dari zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28.

Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Negara Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan baginda dan Raja Chulan. Mengikut cerita dengan tidak semena-mena seekor gajah baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa’id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.

Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya, musnahlah batu marmar itu. Perjuangan gajah itu telah berlanjutan hingga berjam-jam lamanya, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai orang yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Negara Itali. Tetapi malangnya, batu marmar yang dipesan itu telah lambat sampai oleh kerana cetusan Peperangan Dunia Pertama di Eropah. Batu marmar itu telah dibawa melalui Negara Afrika Selatan. Perbelanjaan pembinaan masjid ini adalah kira-kira $22,000.00.

Pada hari Jumaat, 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918.), Sultan Perak yang ke-29, pada tahun 1917.

Ruang dalaman Masjid Ubudiah Kuala Kangsar

Ruang solat jemaah

Sebelum Masjid Sultan ldris Shah II di Ipoh dibina dan dijadikan Masjid Negeri pada 15 November 1968, maka Masjid Ubudiah adalah Masjid Negeri Perak. Masjid Ubudiah sekarang dikenali sebagai Masjid Diraja dan ditadbirkan oleh suatu Jawatankuasa Tadbir Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Paduka Seri Sultan biasanya penyandang jawatan Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mahtlpun jawatan Orang Kaya-kaya Setia Bijaya Diraja dan jawatan Setiausaha diuruskan oleh seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat di Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Darul Ridzuan).

Itulah serba sedikit sejarah kewujudan Masjid Ubudiah ini. Sememangnya Masjid ini banyak menyimpan sejarah yang menarik untuk diketahui menepati ciri-ciri binaannya yang sangat cantik dan berseni. Jika mahu melancong ke Kuala Kangsar, singgahlah ke Masjid Ubudiah yang terletak di Bukit Chandan Kuala Kangsar ini. Kiranya masjid ini juga menjadi salah satu destinasi wajib bagi para pelancong luar khususnya untuk ke Kuala Kangsar.

SourceWikipedia
Ahmad Saufi Bin Ahmad Khalil
Ahmad Saufi Bin Ahmad Khalil
PI1M Kg Kubang Pekan, Kluster Kuala Kangsar, Perak
RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Most Popular