Terletak 8km dari bandar Alor Setar. Dibuka dengan rasminya pada 12 Oktober 2004 oleh KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Bangunan yang berbentuk Gemai Padi ini mempunyai sebuah bangunan induk dan enam buah bangunan sampingan disekelilingnya. Tujuan utama muzium ini dibina bagi mewujudkan sebuah muzium yang unggul untuk mempamerkan bahan-bahan berkaitan tanaman padi melibatkan budaya, penyelidikan dan pembangunan serta teknologi tanaman padi. Terdapat satu-satunya di Malaysia.

Mempunyai 3 tingkat yang menempatkan kemudahan-kemudahan berikut:-

Aras 1
Di aras ini pengunjung berpeluang mengetahui sejarah penanaman padi di Kedah, meninjau koleksi variati – variati padi dan melihat alatan-alatan pesawahan tradisional seperti anak, renggam, kapok, tenggiling dan lain-lain. Bagi yang ingin mencuba pengalaman baru, belehlah belajar memekul (membanting) padi dan menumbuk padi di sini. Untuk penggemar ikan, boleh juga melihat alat-alat menangkap ikan yang hampir pupus antaranya sepila, tuar, bubu, serta tankul disamping boleh mengenali ikan-ikan seperti sepat, puyu, haruan, keli dan bermacam-macam lagi.

Aras 2
Aras ini mengandungi enam galeri. Galeri-galeri ini memuatkan lukisan-lukisan yang menggambarkan aktiviti-aktiviti pertanian bermula dari zaman purba hingga ke zaman sekarang. Terdapat juga lukisan yang menggunakan teknik semburan batu kristal yang pasti mambuat anda terpesona. Pada mereka yang ingin menambah pengetahuan bolehlah menonton dokumentari mengenai kaedah penanaman padi yang ditayangkan setiap hari. Dari aras 2 ini juga pengunjung boleh melihat aktiviti-aktiviti harian pesawah seperti mencabut semai, menyulam, membaja dan menuai

Aras 3
Dengan menaiki 59 anak tangga, pengunjung boleh samapai ke puncak Gunung Keriang. Di sini, pengunjung boleh melihat panorama perkampungan tradisional dan sawah-sawah padi yang terbentang luas saujana mata memandang. Pengunjung pastinya akan terpegun melihat panorama tanaman pada satu musim dalam bentuk mural dan lanskap. Mural ini mempunyai ketinggian 8 meter serta 103 meter panjang dan merupakan salah satu mural yang terbesar dan tercantik di Malaysia. Ruang pemerhatian diaras ini boleh memuatkan 40 orang pada satu-satu masa dan terletak diatas platform berputar.

Waktu Melawat :- 9.00 pagi – 5.00 petang

Jumaat 9.00 pagi – 12.30 tengahari / 2.30 petang – 5.00 petang

Muzium Padi ditutup hanya hari-hari berikut:-

i) Hari Raya Puasa (Pertama)

ii) Hari Raya Aidiladha (Pertama)

Bayaran Masuk :

RM 5.00 (Dewasa)

RM 2.00 (Kanak -Kanak)

Tel :- 04 735 1315 

Fax :- 04 730 5516

Laman Web : http://www.kedahmuseum.gov.my/

Facebook :https://www.facebook.com/LembagaMuziumNegeriKedah/

  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.