Hiking Gunung Keriang

0
3725

 Info berkaitan dengan Gunung Keriang:


Ia dikenali dengan nama lain ‘Mount Caves’ adalah satu artifak pra-sejarah silam yang mengandungi pelbagai misteri dan khazanah berharga di dalamnya. Ia terletak lebih kurang lapan kilometer dari pusat bandar Alor Setar, ibu negeri Kedah. Gunung Keriang juga dikenali sebagai Bukit Gajah bagi masyarakat Cina. Dengan ketinggiannya yang melebihi 714 kaki, bukit itu dikelilingi oleh pemandangan sawah padi yang menghijau subur.

Asal usul Gunung Keriang ini diambil bersempena dengan cerita mitos yang terjadi sebelum ini. Menurut pendapat orang-orang tua dahulu, gunung ini berasal daripada sebuah kapal yang membawa pengantin diraja iaitu seorang puteri. Akibat keengganan puteri tersebut berkahwin dengan gedembai lalu disumpah menjadi batu. Dipercayai dalam sebuah gua di sini terdapat serpihan pinggan yang amat banyak, dipercayai kepunyaan tuan puteri. Menurut penduduk, kawasan ini dahulunya adalah laut. Kawasan ini sekarang telah mengalami proses semulajadi dengan izin dan kudrat Allah SWT.

Kini, tempat bersejarah tersebut menjadi pusat riadah dan rekreasi kepada pengemar hiking disamping dapat menerokai keindahan alam sekitar. Terdapat beberapa “track” untuk pendakian hingga ke puncak gunung dan “track” menuju ke Gua Terus atau Gua Dingin yang menjadi tarikan utama kepada yang belum pernah datang kesini. Kecantikan batu kapur dan dinding gua pasti membuatkan pengunjung berpuashati menikmati keindahan alam semulajadi. Permandangan indah sawah padi dan permandangan sekitar  dapat dilihat dari puncak sehingga ke Kuala Kedah. Anda juga mungkin bernasib baik dapat berjumpa dengan pencari batu kristal yang memasuki gua untuk mencari batu kristal.

Jangan lupa untuk membawa kamera supaya dapat merakam kenangan bersama rakan-rakan yang lain.

Lokasi : Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.