Warisan Kapal Korek di Malaysia “The Last Dredge”
Kapal Korek pertama diperkenalkan di Malaysia ialah pada 1913 oleh Malayan Tin Dredging Limited di Batu Gajah, Perak. Manakala kapal korek baru yang terakhir dibina di Malaysia ialah pada tahun 1985. Untuk makluman anda, kapal korek yang paling tua pada ketika itu mencecah usia hampir 70 tahun usianya. Kapal korek tidak dibina sepertimana kapal laut atau bot besar dan hanya terapung diatas air dengan menggunakan beberapa buah pontun yang digabungkan menjadi satu ketika pemasangan. Keadaan air lombong tidak memungkinkan kapal korek untuk dipasang dengan bebaling seperti mana kapal di laut.
Pada awalnya, sistem rawatan pengasingan bijih timah dalam kapal korek menggunakan kaedah sluice box, tetapi kemudian iaitu sekitar tahun 60an dan keatas banyak kapal korek moden yang dibina di Malaysia menggunakan kaedah Circular Jigs yang lebih pantas dan efektif dalam mengasingkan bijih timah. Generasi awal kapal korek beroperasi menggunakan arang batu dengan bekuasa wap tetapi selepas era perang dunia kedua, sedikit demi sedikit kapal korek di Malaysia mula beroperasi menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.
Salah satu contohnya ialah kapal korek Tanjung Tualang 5 (TT5) yang dibina pada tahun 1938 telah menjalani naiktaraf dari enjin wap dengan menggunakan arang batu kepada elektrik sepenuhnya pada tahun 1963. Kapal korek lama memerlukan banyak tenaga kerja. Seramai 30 hingga 40 orang anak kapal diperlukan untuk setiap shif bergantung pada saiz kapal. Namun kapal korek moden yang dibina sekitar 70an hingga 80an hanya memerlukan sekitar 15 orang bagi setiap shif sekaligus mengurangkan beban kepada syarikat pengoperasi.
Kapal korek bergerak ke sekitar lombong menggunakan beberapa tali dari winch yang dipasang disetiap penjuru dan hadapan kapal korek yang mana tali-tali dari setiap winch akan ditambat di tepi tebing atau disauh anchored di dasar. Winch akan berpusing untuk menarik tali perlahan-lahan hingga kapal korek bergerak sedikit demi sedikit. Paling utama ialah tali dari bahagian muncung hadapan kapal, jika talinya tidak ditambat atau disauh ke dasar lombong maka akan menyebabkan kapal korek mundur ke belakang. Perkara ini disebabkan akibat tekanan yang terhasil dari sentuhan oleh baket ke dasar lombong ketika pengorekkan.
Pada masa sekarang ini anda masih boleh mengunjungi kesan tinggalan kapal korek ini yang masih terdapat di Batu 5, Jalan Tanjung Tualang, 31000 Batu Gajah. Tinggalan ini adalah dibawah kawal selia Jabatan Antikuiti dan Muzium Perak Darul Ridzuan. Walaupun anda tidak dibenarkan menaiki tinggalan kapal korek ini, namun anda boleh mengambil gambar foto untuk kenang-kenangan anda tanpa sekatan.
Keluasan Kapal Korek :Â Lebar 35 meter, Panjang 75 meter
Ketinggian :Â 5 Tingkat
Berat :Â 4500 Tan
Tahun Operasi :Â 1938 hingga 1992
Kos pembinaan mencecah RM 30 Juta
Bermula beroperasi di Malim Nawar dan perhentian terakhir Batu 6, Jln Tg. Tualang.
Bilangan Pekerja seramai 90 orang dan hanya 30 orang yang boleh bekerja dalam satu shift.
Masa Lawatan :9.00 Pagi hingga 6.00 petang (Selasa-Ahad)
Harga Tiket : RM2.00 (12 Tahun ke atas)
Nombor Telefon :Â 05-370 2253 /014-904 3255
Untuk maklumat lanjut sila hubungi :
Warisan Kapal Korek Perak “The Last Dredge”
Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5
31000 Tanjong Tualang , Perak Malaysia
4° 23′ 47.9112″ N, 101° 3′ 11.4264″ E