Monday, January 22, 2024
HomeKedahAlor Setar, Kuala Kedah, Pokok SenaGaleri Sultan Azlan Shah Sejarah Yang Tidak Dilupakan

Galeri Sultan Azlan Shah Sejarah Yang Tidak Dilupakan

Galeri Sultan Azlan Shah, sebuah galeri yang indah dan menarik senibinanya dibangunkan setaraf galeri yang terdapat di luar negara. Ini dizahirkan semula dari cetusan pemikiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah atas perkenan untuk dijadikan pengetahuan umum akan laluan perjalanan hidup Baginda. Galeri ini telah dirasmikan pada 9 Disember 2003 oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

 

 

 

 

 

Galeri Sultan Azlan Shah dibina semula dari istana lama iaitu Istana Ulu. Istana Ulu atau dikenali juga dengan nama Istana Kota ini terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tidak jauh dari Masjid Ubudiah. Istana ini pada asalnya ialah tempat persemayaman Sultan Perak yang ke-28, Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah yang memerintah dari tahun 1887-1916.

     

 

 

 

 

 

Istana ini mula dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun 1903. Pada tahun 1916, Istana Ulu ini telah disemayami olehAlmarhum Sultan Abdul Jalil , putera Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah. Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Jalil pada tahun 1918, Istana ini telah disemayami pula oleh putera, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah , Sultan Perak yang ke-32 yang memerintah Negeri Perak dari tahun 1948-1963.

Menurut sejarah, pusat Kesultanan Perak bermula di Tanah Abang iaitu pada tahun 1594. Sultan Perak yang ke-2 iaitu Almarhum Sultan Mansur Shah I, telah memindahkan kota tersebut ke Kota Lama Kanan iaitu kira-kira dua batu mudik melalui Sungai Perak dari Kuala Kangsar. Kota Lama Kanan telah kekal menjadi pusat pentadbiran kerajaan Negeri Perak sehinggalah pemerintahan Sultan Perak yang ke-27.

Apabila Almarhum Sultan Idris ditabalkan menjadi Sultan, Baginda telah memindahkan kawasan pemerintahan dari Sayong ke Bukit Chandan. Baginda telah membina sebuah istana berhampiran dengan Batang Hari iaitu dikenali sebagai Istana Negara pada tahun 1895. Berlakulah kemajuan yang pesat di sebelah Bukit Chandan dimana kemudiannya Baginda telah membina dua buah istana serentak iaitu Istana Ulu dan Istana Hilir. Istana Ulu digunakan sebagai tempat persemayaman baginda.

Istana Ulu mempunyai perkaitan yang rapat dengan permulaan pertukaran kawasan pemerintahan Kesultanan Perak dari daerah Sayong ke daerah Bukit Chandan. Istana Ulu juga dikenali sebagai Istana Cinta Berahi, Istana Cempaka Sari atau Istana Kota. Istana tersebut direkabentuk oleh Kapten Maurice Alexander Cameron, Timbalan Jurutera Kolonial dan Ketua Juruukur Negeri-negeri Selat pada masa itu. Bahagian bumbung nya pula menggunakan pengaruh Acheh dengan pengunaan bumbung yang berbentuk limas. Pengaruh dari senibina India pula terdapat di bahagian kubah di kedua-dua menara bangunan.

Ukiran-ukiran kayu kayu yang terdapat pada istana tersebut telah diukir oleh Raja Harun Al-Rashid yang merupakan seorang pengukir terkenal ketika itu. Beliau mengambil ilham berdasarkan tumbuhan alami yang terdapat di taman istana tersebut. Sementara ukiran batu yang telah dibuat oleh pengukir mengikut arahan dan perkenan Sultan Idris 1 di  mana Almarhum memastikan supaya tidak terdapat sebarang bentuk ukiran yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti bentuk binatang atau patung-patung.

Penyusunan dan konsep ruang yang terdapat pada istana tersebut adalah berdasarkan pada ilham baginda di masa-masa yang lepas. Rekabentuk bangunan istana ini mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bangunan Istana Negara, Mahkamah Tinggi Ipoh dan Stesyen Keretapi Ipoh.

Kebanyakan daripada bahan binaan untuk Istana Ulu ini dibawa dari luar negara. Atapnya dari Perancis dan jubin nya pula dari Itali dan tembaga kubahnya pula dari India. Walau bagaimanapun, banyak bahan tempatan yang digunakan seperti kerangka bumbung yang dibuat daripada kayu cengal dan ukiran daripada kayu meranti yang terbaik.

Kapal-kapal dagangan yang melalui perairan Sungai Perak telah digunakan untuk membawa bahan-bahan binaan untuk pembinaan Istana Ulu ini. Sementara itu gajah telah digunakan bagi mengangkut bahan-bahan tempatan.

Istana Ulu ini dipagari dengan tembok kota yang dibina di sekeliling Istana tersebut sehingga namanya turut dikenali dengan nama Istana Kota. Pada bahagian atas tembok tersebut kerawang besi berukiran bunga kemboja telah dibina dengan cantik.

Kemegahan dan keagungan istana ini dilukiskan dengan seni pembinaannya yang halus dan indah dan terus kekal berdiri teguh walaupun telah seabad didirikan. Pembinaan semula bangunan ini telah menyempurnakan lagi talian warisan kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Jadi kepada yang ingin singgah ke Kuala Kangsar jangan lupa juga untuk ke Galeri Sultan Azlan Shah bagi mengenali sejarah Sultan Azlan Shah Muhibbudddin Shah serta keunikan dan keindahan daerah Kuala Kangsar sebagai Bandar DiRaja.

 

Informasi Waktu Lawatan :

Sabtu – Khamis
10.00 pg – 5.00 ptg
Jumaat
10.00 pagi – 12.15 tgh
Dibuka semula 2.45 ptg – 5.00 ptg

Bayaran Masuk

Dewasa                                                       RM 4

Warga Emas / IPT / Sekolah Menengah               RM 2

Kanak-Kanak                                                RM 1

 

Ahmad Saufi Bin Ahmad Khalil
Ahmad Saufi Bin Ahmad Khalil
PI1M Kg Kubang Pekan, Kluster Kuala Kangsar, Perak
RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Most Popular