Thursday, April 4, 2024

Gua Tempurung

Selamat berhujung minggu buat warga Kinta. Anda gemarkan aktiviti lasak seperti berkayak, meredah sungai dalam gua atau berakit merentasi jeram tapi hanya tertumpu di kawasan sekitar Kampar? Gua Tempurung adalah jawapannya!

Gua Tempurung adalah gua batu kapur yang terletak di Gopeng, Perak. Gua ini merupakan salah satu gua terpanjang di Semenanjung Malaysia.  Kawasan laluan gua sepanjang 3 km ini dahulunya digunakan oleh penduduk setempat untuk melombong timah serta menyelamatkan diri dari penjajah Jepun. Setelah zaman Jepun, gua ini dipercayai digunakan sebagai laluan rahsia komunis untuk melarikan diri dari anggota keselamatan.

Nama Gua Tempurung diambil sempena bentuknya seperti tempurung kelapa. Gua Tempurung terdiri daripada lima kubah besar yang silingnya juga menyerupai tempurung kelapa. Setiap kubah ini mempunyai pembentukan kalsium yang berbeza dan marmar kerana wujud dalam suhu dan paras air yang berbeza. Anda pasti terpesona dengan stalagmit dan stalaktit yang berbentuk seperti gergasi di dalam gua ini.

Gua Tempurung terletak kira-kira 24 km selatan dari bandar Ipoh dan 15 km dari bandar Kampar. Kini, Gua Tempurung dilengkapi lampu, tangga, platform, tempat letak kereta serta kemudahan awam lain untuk memudahkan pelancong berekreasi di kawasan ini. Kawasan ini juga telah dibaik pulih agar lebih mesra kanak-kanak dan mereka yang kurang cergas.

Terdapat 4 pakej di Gua Tempurung iaitu Golden Flowstone, Top of The World, Top of The World (with River Adventure) dan Grand Tour (with River Adventure).

Golden Flowstone adalah pakej paling murah dan mudah. Dengan harga tiket sebanyak RM6 untuk dewasa dan RM2.50 untuk kanak-kanak, anda boleh berjalan sehingga ke Platform 3, iaitu setinggi 60 meter dari paras tanah. Pakej selama 40 minit ini bakal membawa anda sehingga ke kawasan kecil tempat melombong timah.

Pakej Top Of the World pula yang mengambil masa selama 1 jam 45 minit. Anda perlu memanjat sehingga hampir 600 anak tangga dan anda bakal berada 100 meter dari paras tanah. Harga tiket bagi pakej ini adalah RM9 untuk dewasa dan RM4.50 untuk kanak-kanak.

Bagi penggemar aktiviti yang lebih mencabar, tidak kisah merangkak di tempat sempit, bergelumang dengan najis kelawar dan basah lencun, anda boleh mengikuti pakej yang mempunyai tambahan River Adventure. Anda akan sampai ke kaki gua, bukan melalui anak tangga tetapi menerusi jalan anak sungai yang sempit tetapi menyeronokkan. Harga tiket pakej Top of The World (with River Adventure) adalah RM11 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak. Harga pakej Grand Tour (with River Adventure) pula RM22 untuk dewasa dan RM11 untuk kanak-kanak.

Tak sabar nak beriadah? Moh ke Gua Tempurung hari ini juga!

dyanakhairudin
dyanakhairudin
Nordiyana binti Khairudin, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Tualang Sekah, Perak (Cluster Kinta)
RELATED ARTICLES

Most Popular