Kedah kaya dengan struktur unik seni bina termasuk rumah tradisional Melayu yang berdindingkan kayu meranti atau temak dan beratapkan rumbia seperti di Kampung Warisan, Alor Setar. Terletak berhadapan dengan Wisma Pentadbiran Negeri (Wisma Darul Aman), kampung itu menempatkan Rumah Tok Su yang menjadi lambang keunikan serta keaslian seni bina tradisional Melayu dipercayai berusia lebih 80 tahun. Keistimewaan rumah ini juga terletak pada kehalusan ukiran bunga kerawang dan ruang-ruangnya iaitu beranda, rumah ibu, anjung, ruang tengah, selang, dapur dan pelantar.
Rumah Tok Su bukan berasal dari Alor Setar tetapi dipindahkan dari lokasi asal yang berbeza. Rumah Tok Su dibawa dari Kampung Permatang Kerat di Bandar Baharu yang letaknya kira-kira 200 kilometer dari Alor Setar. Nama Tok Su diberikan sempena nama panggilan anak bongsu pemilik asal rumah itu.
Rumah Tok Su pernah dijadikan lokasi untuk mesyuarat politik dan pertemuan anggota Pergerakan Barisan Pemuda yang memperjuangkan bangsa Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan. Idea asal untuk mengekalkan rumah itu datang daripada bekas menteri besar Kedah (1995-1999), Tan Sri Sanusi Junid yang mahu memartabatkan warisan dan mengekalkan identitinya sebagai seni bina tradisional untuk penghayatan generasi hari ini.
Pengurusan rumah-rumah itu kini diletakkan di bawah Lembaga Muzium Kedah dan sering juga dijadikan lokasi pengambaran filem, majalah serta dokumentari. Kampung Warisan dibuka kepada umum sejak 2001. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk dan dibuka setiap hari. Dibuka pukul 9.00 pagi dan ditutup pada jam 5.00 petang.